Skip to main content

Pada 50 tahun yang lalu (1 Februari 1968) di sekitar jalan-jalan di Saigon, akhbar New York Times memaparkan satu foto yang menarik perhatian sedunia. foto ini menjadi antara gambar yang paling ikonik tentang Perang Vietnam. Jurugambar yang merakam foto tersebut, Eddie Adams memenangi Hadiah Pulitzer yang merupakan hadiah paling berprestij dalam dunia kewartawanan US.

Tetapi foto itu tidak dapat menerangkan sepenuhnya di sebalik apa yang berlaku di jalan-jalan Saigon pada 1 Februari 1968, dua hari selepas Angkatan Tentera Rakyat Vietnam dan Viet Cong melancarkan “Tet Offensive” Akibatnya puluhan bandar-bandar di Vietnam Selatan telah digemparkan dengan pertembungan tersebut.

Istilah “Tet Offensive” biasanya merujuk kepada serangan Januari-Februari 1968, tetapi ia juga boleh merangkumi serangan yang dipanggil “Mini-Tet” yang berlaku pada bulan Mei dan Serangan Fasa III pada bulan Ogos, atau 21 minggu yang luar biasa pertempuran sengit yang menyusuli serangan awal pada bulan Januari.

Pertempuran hebat telah mengakibatkan Saigon menjadi huru-hara apabila tentera Vietnam Selatan menangkap Nguyen Van Lem yang merupakan pemimpin skuad Viet Cong yang disyaki berhampiran tapak pembunuhan beramai-ramai lebih daripada 30 orang awam.

Adams mula mengambil gambar Lem yang sedang di bawa ke kenderaan Jeneral Loan dengan keadaan tangan diikat ke belakang. Loan berdiri di sebelah Lem sebelum mengacukan pistolnya di kepala Lem. Lalu Jeneral loan melepaskan tembakkan ke kepala Lem

“Saya fikir dia akan mengancam atau mengganas lelaki itu,” kata Adams selepas itu, “jadi saya hanya mengangkat kamera saya seperti biasa dan mengambil gambar itu.”

“Jika anda teragak-agak, jika anda tidak melakukan tugas anda, orang bawahan tidak akan mengikuti anda,” kata jeneral tentang tindakkannya yang mengejutkan.

Tetapi malangnya gambar itu tidak menceritakan kejadian sebenar disebalik tindakan menembak itu. Lem dipercayai telah membunuh sahabat baik dan pegawai bawahan Loan iaitu Nguyen Tuan serta sekeluarganya, termasuk isterinya, 6 anaknya dan ibunya yang berumur 80 tahun.

Kesemuanya dibunuh dengan cara kejam iaitu dengan cara memotong leher mereka. Selepas Lem ditangkap, Loan memilih untuk membunuh Lem dengan tangan sendiri untuk membalas dendam bagi sahabatnya,Tuan. Apa yang gagal ditangkap oleh kamera Adams ialah air mata Loan ketika mengenang pengorbanan sahabatnya.

Loan memainkan peranan penting dalam 72 jam pertama ‘Tet Offensive’ dengan mengukuhkan tentera untuk menghalang kejatuhan Saigon, menurut Kolonel Tullius Acampora, yang bekerja selama dua tahun sebagai pegawai penghubung Angkatan Tentera Amerika Syarikat

Loan adalah pembunuh yang tidak berhati perut, itulah tanggapan pertama Adam terhadap Loan. Tetapi selepas bersamanya di seluruh negara, dia mula menyedari penilaiannya dahulu adalah tidak betul. Menjelang Mei tahun berikutnya, foto itu telah memenangi Hadiah Pulitzer yang merupakan hadiah paling berprestij dalam dunia kewartawanan US.

Meskipun pencapaian jurnalistik dan surat ucapan tahniah dari pelbagai pihak termasuk dari Presiden Richard Nixon dan kanak-kanak sekolah di seluruh Amerika, foto itu mula menghantui Adams.

“Saya mendapat wang untuk menunjukkan seorang membunuh orang lain,” kata Adams pada majlis anugerah yang kemudian. “Dua nyawa telah musnah, dan saya telah dibayar untuknya, saya seorang pahlawan.”

Namun satu dunia telah menghukum Loan sebagai “penjahat” dan “penjenayah perang”. Selepas Vietnam Selatan ditawan, Loan berhijrah ke US. Di situ beliau menerima pelbagai diskriminasi dan gangguan akibat daripada buruk sangka orang ramai.

Adam dan loan kekal berhubungan antara satu sama lain malah telah menjadi kawan selepas loan berhijrah ke US setelah tamat perang. Adam telah meyakinkan kongress yang pada mulanya hendak mengusir loan akibat dari tanggapan foto terdahulu.

Kongres akhirnya menarik semula arahan pengusiran dan Loan dibenarkan tinggal, membuka restoran di pinggir bandar Washington, dengan menyajikan hidangan hamburger, pizza dan Vietnam. Namun begitu perniagaannya musnah apabila tanggapan dari foto terdahulu memburukkan diri dan perniagaannya.

Adams cukup kesal dengan tindakannya. Adams telah memohon maaf dengan Loan sebelum Loan meninggal dunia pada tahun 1998 akibat kanser. Dalam eulogi yang ditulis oleh Adams untuk Loan dalam majalah Time, Adams telah mengatakan bahawa:


Dua orang telah terkorban dalam foto tersebut: yang ditembak dengan peluru tersebut dan General Nguyen Ngoc Loan. General itu membunuh vietcong dan saya membunuh General tersebut dengan kamera.

Eddie Adams

Adams turut berpesan kepada orang ramai:


“ Foto juga menipu, biar pun ia tidak dimanipulasi. Ia hanya separuh kebenaran. Apa yang foto itu tidak ceritakan apa yang kita patut lakukan sekiranya kita berada di tempat Jeneral tersebut pada masa dan tempat itu di dalam keadaan hari yang panas.. ”


EDDIE ADAMS

Memang benarlah sekeping foto mampu menceritakan seribu makna namun, makna yang mana satukah akan mampu sampai dahulu? Foto mampu memberi kesan yang baik mahupun buruk dalam jangka masa yang panjang pada seseorang biarpun masa telah berlalu. Berhati-hatilah dengan setiap foto yang hendak kita kongsikan kerana bimbang mungkin ia akan menjadi fitnah yang berpanjangan.

Leave a Reply