Skip to main content

Anda sedang asyik menyuap laksa atau bihun kegemaran anda dengan seleranya. Anda fokus pada garpu di dalam genggaman, tetapi pernahkah anda berhenti sejenak untuk memikirkan garpu yang anda sedang gunakan? Alatan ini, yang kelihatan biasa, mempunyai sejarah yang sarat dengan kontroversi.

Walaupun sudu dan pisau telah ada sejak zaman purba, garpu adalah tetamu yang agak lewat ke majlis jamuan. Ia baru mendapat tempat di meja makan pada lewat zaman Abad Pertengahan, kebiasaanya ia digunakan untuk menusuk daging.

Di Eropah Abad Pertengahan, garpu dilihat sebagai alatan yang tidak perlu dan bahkan dianggap sebagai alatan syaitan kerana bentuknya yang bercabang. Gereja Katolik Rom adalah salah satu penentang terbesar penggunaan garpu.

Menurut mereka, Tuhan telah memberikan jari sebagai ‘garpu semulajadi’ dan penggunaan garpu logam adalah penghinaan kepada ciptaan Tuhan. Bentuk garpu yang bercabang menambah kontroversi, dengan beberapa ahli teologi (para pakar dalam kajian mengenai Tuhan dan agama) berpendapat bahawa menggunakannya sama dengan meniru syaitan.

Kontroversi ini mencapai kemuncaknya apabila Maria Argyropoulina, anak saudara kepada Maharaja Byzantine, membawa garpu emas ke perkahwinannya di Venice pada tahun 1004. Ini menimbulkan kecaman dari pihak gereja. Dua tahun selepas perkahwinannya, Maria Argyropoulina mati akibat wabak.

Seorang biarawan Benediktin, Peter Damian, yang kemudian dikanonisasi (dijadikan seorang santo oleh Gereja Katolik), menyalahkan kematiannya disebabkan penggunaan garpu. Apabila penggunaan garpu adalah lebih praktikal, mereka mula mengakuinya, lama-kelamaan tentangan agama mulai kian reda.

Pada mulanya, garpu adalah simbol status sosial dan kekayaan. Penggunaannya juga dianggap sebagai ancaman terhadap adat dan norma makanan tradisional. Seiring dengan masa, garpu menjadi lebih mampu milik dan kegunaannya lebih dihargai. Pada abad ke-17, ia telah menjadi alatan makan yang biasa di Eropah.

Hari ini, garpu adalah alatan makan yang standard digunakan di seluruh dunia, jauh berbeza dari masa lalu kontroversinya. Sejarahnya adalah contoh menarik bagaimana persepsi budaya dan agama dapat mempengaruhi aspek kehidupan seharian kita.

Leave a Reply