Di sudut timur Semenanjung Malaysia, terletak sebuah bandar kecil bernama Endau, yang pernah berdenyut sebagai nadi penting kehidupan nelayan. Bandar ini, berdiri di muara Sungai Endau yang mengalir tenang di sempadan Johor dan Pahang, kini semakin dilupakan oleh waktu dan arus modernisasi.
Pada masa lalu, Endau dikenali sebagai salah satu pelabuhan perikanan terbesar di pantai timur. Pasar ikan lama yang sibuk, tempat para nelayan mempamerkan hasil tangkapan mereka, adalah simbol kebanggaan dan kehidupan. Namun, seiring berlalunya waktu, struktur itu kini telah reput, dimamah masa. Sebuah pasar baru telah dibina, tetapi tidak mampu menandingi riuh rendah dan semangat pasar ikan yang lama.
Pada masa lalu, untuk melintasi Sungai Endau, penduduk tempatan terpaksa menggunakan feri. Namun, pada awal 1970-an, sebuah jambatan telah dibina, menandakan era baru bagi Endau. Jambatan ini bukan sekadar binaan konkrit, tetapi juga jambatan memori yang menghubungkan masa lalu dengan masa kini.
Berdekatan dengan jambatan tersebut, Menara Jam Endau yang berdiri gagah di tebing utara adalah saksi bisu kepada banyak cerita yang telah dilalui oleh bandar Endau. Menara ini, yang terletak di kawasan yang dikenali sebagai Tanjung Gemok, Rompin Pahang dahulunya adalah sebagian dari “Endau Pahang”.Kini ia hanya pemerhati melihat salah sebuah daerah dari Johor yang semakin suram.
Deretan kedai-kedai yang dahulunya meriah dengan aktiviti perdagangan dan kehidupan masyarakat, kini sepi, menunggu masa rebah ke bumi. Bandar Lama Endau, yang dahulunya merupakan titik pertemuan dan kegembiraan, kini kian dilupakan, seolah-olah hanya tinggal dalam memori mereka yang pernah menyaksikan kegemilangannya.
Setiap sudut dan celah di Endau memancarkan kisah kesunyian yang tersembunyi di balik kesibukan pelabuhan dan deru angin yang membawa bau laut. Walaupun pembangunan telah mengubah banyak aspek kehidupan di sini, bandar kecil ini tetap memegang erat pada sejarah dan memori yang mungkin satu hari nanti akan hilang ditelan zaman.
Endau, sebuah nama yang mungkin tidak lagi gah di peta, namun setiap ombak yang menghentam pantainya mengingatkan kita pada kejayaan dan kesedihan yang pernah dirasai oleh mereka yang memanggil tempat ini sebagai tempat asal tanah kelahiran.